Kronologi Sebelum Mendapat Tawaran Kerja Pegawai Farmasi

Posted by azwadi kamarudin on Sunday, August 08, 2010

Untuk entri ini, saya ingin kongsikan kronologi yang berlaku sebelum mendapat tawaran kerja. Kronologi ini berdasarkan pengalaman saya semasa di universiti.

Taklimat Pengenalan Pegawai Farmasi U41

Taklimat pegenalan pegawai farmasi akan disampaikan kepada semua pelajar farmasi sebelum sesi temuduga dijalankan. Berdasarkan pengalaman saya, taklimat ini diadakan seawal minggu pertama semester terakhir sebagai pelajar farmasi. Pada waktu ini juga, tarikh temuduga akan ditetapkan.

Apa yang anda harus lakukan sebelum tarikh temuduga? Anda wajib memohon jawatan sebagai pegawai farmasi yang boleh dilakukan secara online. Anda hanya perlu melayari laman web Suruhanjaya Perkhidmatan Awam (SPA) dan pergi kepada borang permohonan online (SPA8i) dan klik pada ijazah/sarjana/phd. { InsyaAllah langkah seterusnya akan diajar oleh penceramah.} Dalam masa 3, 4 hari selepas permohonan, anda akan menerima slip permohonan yang akan dihantar ke alamat rumah anda

Temuduga Pegawai Farmasi U41

Sesi temuduga kami diadakan seawal bulan Februari. Temuduga akan diadakan di pusat temuduga SPA negeri masing-masing. Panel temuduga terdiri daripada pegawai penemuduga daripada SPA dan juga pegawai-pegawai daripada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM). Pegawai SPA biasanya akan bertanyakan tentang isu-isu semasa. Contoh isu semasa yang hangat diperbincangkan semasa sesi temuduga kami ialah 1 Malaysia, H1N1 dan sebagainya. Pegawai KKM pula akan lebih tertumpu kepada soal kerjaya sebagai ahli farmasi termasuklah tentang clinical pharmacy, enforcement, law dan sebagainya.

Persiapkan diri anda dengan ilmu-ilmu ahli farmasi sebelum ditemuduga dan pastikan anda stadi tentang profil KKM dan kerajaan Malaysia. InsyaALLAH temuduga ini dianggap sebagai prasyarat untuk bekerja sahaja. Walau bagaimanapun, persediaan untuk sesi temuduga ini amatlah digalakkan.

Jangan lupa! Bawa

1. Resume bergambar
2. Sijil Kelahiran (asal dan salinan)
3. Kad Pengenalan (asal dan salinan)
4. Sijil SPM dan setaraf (asal dan salinan)
5. Sijil STPM dan setaraf
6. Lain-lain sijil

Borang Maklumat Diri

Selain mengisi borang permohonan di laman web SPA, anda juga perlu mengisi Borang Maklumat Diri (BMD) secara manual yang boleh didapati daripada pegawai pentadbiran kulliyah/fakulti farmasi anda. Borang inilah yang memerlukan anda memilih 3 penempatan pilihan berserta alasan pemilihan dibuat. Anda perlu memilih negeri pilihan bukannya hospital pilihan untuk penempatan PRP ini. Namun demikian, jikalau anda berminat dengan hospital universiti seperti HUSM, PPUM atau pun HUKM, pilihan ini perlu dinyatakan terus pada borang pilihan. Bermula sesi pengambilan PRP tahun 2010, penempatan di Biro Pengawalan Farmaseutikal Kebangsaan (NPCB) tidak lagi dilakukan. Semua graduan farmasi akan hanya ditempatkan di hospital sahaja.

Setakat ini dahulu untuk kali ini. Saya perlu refresh kembali apa lagi yang perlu diisi semasa masih di alam universiti ini. Andai ada, saya akan edit semula entri ini.